Kuala Lumpur Post

Social

Wanita warga emas ditemui maut disyaki dibunuh

IPOH — Seorang Wanita warga emas yang ditemukan maut di ruang tamu rumahnya di Dataran Tasek Timur, Anjung Bercham pada Rabu disyaki dibunuh.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kes yang awalnya diklasifikasikan mati mengejut (SDR) kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. lapor Harian Metro.

“Keputusan bedah siasat dilakukan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pagi tadi mengesahkan punca kematian mangsa berusia 60-an itu akibat kecederaan pada kepala dan tengkuk disebabkan trauma objek tumpul,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan reman anak lelaki mangsa berusia 36 tahun untuk siasatan lanjut berhubung kes itu.

Abang Zainal Abidin berkata, suspek didapati mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan lapan rekod kes dadah.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran.