Kuala Lumpur Post

Social

Warga asing ditahan tetak lelaki akibat salah faham

PETALING JAYA — Seorang warga asing ditahan dekat Tawau semalam selepas seorang lelaki ditemui maut dengan kesan tetakan dipercayai akibat salah faham.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata tangkapan dibuat selepas seorang individu membuat laporan memaklumkan adik lelakinya berumur 33 tahun dibunuh seorang kenalan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 8 malam Sabtu lalu dan pengadu membuat laporan di Balai Polis Inanam, Kota Kinabalu kira-kira 11.30 pagi semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah serta Balai Polis Sri Indah menemui mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di kepala dan badan dalam sebuah rumah di Kampung Ranggu Cina, Batu 8, Jalan Apas kira-kira 12 tengah hari.

Pihak polis kemudiannya menangkap suspek, selain menemui parang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa, katanya menurut Harian Metro.

Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 31 tahun itu bekerja sebagai buruh kasar di kebun kawasan Kampung Ranggu Cina.

Katanya, motif pembunuhan dipercayai akibat salah faham antara mangsa dan keluarga suspek.

Menurutnya, permohonan perintah reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Tawau hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.