Social
962

Warga emas aibkan MB Kedah di FB ditahan

Sungai Petani – Seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes mengaibkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, menerusi satu video jelik berdurasi 9.19 minit yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan pada pukul 3.57 pagi tadi susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang individu.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi tujuan siasatan…semakan rekod jenayah lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah yang masih disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman telah dipohon di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibenarkan reman sehingga pukul 5 petang hari ini, suspek akan diberi jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, video terbabit dimuat naik pemilik akaun yang dikenali sebagai ‘Kamal Hero Malaya’ yang kandungan video terbabit dipercayai bertujuan menghina, menjatuhkan maruah serta mencemarkan reputasi Menteri Besar Kedah, selain bermotifkan politik.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia..kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Adzli bagi kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil boleh dikenakan denda tidak lebih RM100, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru saya memohon agar masyarakat tidak memuat naik perkara jelik yang boleh mengaibkan mana-mana individu sehingga boleh membangkitkan pecah keamanan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu