Social
266

Warga emas dakwa jiran pegang kad ATM keluarkan wang tanpa kebenaran

Kuantan – Tindakan seorang warga emas yang mempercayai jirannya dengan menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) membawa padah, apabila wang simpanannya berjumlah RM26,060 dikeluarkan tanpa kebenaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa seorang peneroka berusia 80 tahun mendakwa, menyerahkan kad ATM kepada suspek wanita itu pada pertengahan Februari lepas.

“Lelaki itu mendakwa tujuannya menyerahkan kad itu supaya suspek dapat membantu menyemak baki akaun, memandangkan dia sukar keluar ke bandar kerana tiada ahli keluarga yang tinggal berhampiran.

“Mangsa mahu menyemak baki akaunnya selepas anak saudara lelakinya memaklumkan wang pampasan daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), telah dimasukkan ke akaun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa suspek tidak memulangkan kad ATM mililknya selepas itu, dan sering memberikan pelbagai alasan apabila ditanya mengenai status wang pampasan tersebut.

Mangsa mendakwa mengetahui baki akaun banknya berkurangan apabila anak saudaranya pulang ke kampung hujung Julai lepas, dan semakan di bank mendapati terdapat 23 transaksi pengeluaran wang dibuat menggunakan kad ATM itu.

“Anak saudara mangsa cuba berbincang dengan suspek untuk memulangkan semula wang itu, namun suspek dikatakan berkeras menyatakan semua wang yang dikeluarkannya telah diserahkan kepada mangsa,” katanya.

Menurut Mohd Wazir mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini semalam, selepas mendakwa suspek enggan memulangkan wang itu walaupun telah memberikan tempoh secukupnya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu