Kuala Lumpur Post

Social

Warga emas ditemukan maut dengan kesan tetakan

JOHOR BAHRU — Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan luka tetakan di beberapa bahagian badannya di Taman Rinting, Masai, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata susulan penemuan mayat mangsa berusia 61 tahun kira-kira jam 10.50 pagi, lima lelaki warga tempatan berusia 35 hingga 48 tahun diberkas di lokasi berasingan sekitar daerah ini dalam tempoh kurang 24 jam.

“Berdasarkan hasil siasatan awal, kita percaya semua suspek adalah kenalan mangsa.

“Polis turut merampas beberapa barangan milik mangsa dan mengambil sampel ‘swab’ di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumar berkata, hasil semakan rekod mendapati semua tangkapan mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

Beliau berkata, permohonan reman dilakukan terhadap semua suspek, hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat, manakala motif kejadian dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya.