Social
194

Warga emas rugi RM1.03 juta ditipu ‘pegawai LHDN’

Johor Baharu – Seorang warga emas kerugian RM1.03 juta akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam setelah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata individu terbabit mendakwa wanita berusia 69 tahun itu terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram pada awal bulan ini.

Katanya, laporan polis dibuat semalam oleh mangsa yang juga suri rumah itu setelah menyedari ditipu susulan wang di dalam akaun bank berkurangan.

“Lelaki terbabit menelefon mangsa dan memaklumkan bahawa wanita itu terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, lalu menyambungkan panggilan kepada ‘Mr Yong’ yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Mangsa berasa takut dan telah mengikut arahan individu terbabit dengan membuka sebuah akaun bank atas nama mangsa dan memberikan nombor siri kad ATM serta nombor pin akaun kepada individu terbabit,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata antara 3 hingga 17 Sept lepas, mangsa telah membuat pemindahan wang daripada lima akaun bank berlainan miliknya kepada akaun bank baharu yang dibuat itu dengan jumlah keseluruhan RM1.03 juta.

“Mangsa juga pada masa sama telah menyerahkan kesemua nombor kod kebenaran transaksi (TAC) yang diterima kepada individu itu,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda.

Ayob Khan pada masa sama menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap trend jenayah ketika ini terutama melibatkan transaksi pembelian barangan, pelaburan dan perkenalan dalam talian menerusi media sosial.

“Gunakan aplikasi semakan dalam talian yang diperkenalkan pihak berkuasa seperti ‘Semak Mule’ sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu