Social
456
0

Warga emas rugi RM3.8 juta ditipu kenalan FB

Johor Bahru – Warga emas kerugian RM3.81 juta, susulan ditipu tawaran geran bantuan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah, berkata mangsa lelaki berusia 74 tahun itu pada awalnya berkenalan dengan individu dikenali Freddie Khoo di Facebook (FB), pada Julai tahun lalu.

Katanya, suspek menawarkan Geran Bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kira-kira AS150,000 (RM605,000) kepada mangsa.

“Mereka kemudiannya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan suspek menggunakan nombor +14697370743.

“Mangsa membuat pembayaran pendahuluan berjumlah RM 12,800 dan suspek kemudiannya menaikkan tawaran kepada AS900,000 (RM3.63 juta) supaya mangsa dapat membuat pembayaran lebih untuk mendapatkan geran itu.

“Sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu, sebanyak 64 transaksi dibuat ke dalam 10 akaun bank tempatan berjumlah RM3.81 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata, mangsa merasakan dirinya ditipu selepas tidak mendapat geran seperti yang dijanjikan, selain dimaklumkan geran bantuan yang ditawarkan sudah ditamatkan dan perlu membuat permohonan baharu.

Katanya, susulan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Tampoi, dekat sini.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda.

“Masyarakat perlu lebih berhati-hati dan berwaspada, sentiasa membuat semakan awal latar belakang individu yang berurusan, termasuk mendapatkan maklumat lanjut dengan pihak berkaitan seperti Bank Negara, mengenai kewujudan geran bantuan yang ditawarkan,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu