Kuala Lumpur Post

Social

Warga emas rugi RM600,000 diperdaya ‘phone scam’

JOHOR BAHRU — Seorang wanita warga emas kerugian RM600,000 diperdaya individu mendakwa pegawai polis dari Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Ketua Polis Johor M Kumar berkata mangsa berusia 70 tahun itu dihubungi suspek pada awal Mei mendakwa dia mempunyai rekod jenayah penipuan, selain ada satu akaun bank dibuka atas nama mangsa di negeri Utara.

Walaupun dinafikan mangsa, suspek berjaya meyakinkan wanita berkenaan untuk memberikan butiran semua akaun bank dimiliki, kononnya bagi tujuan siasatan dan mengarahkannya meninggalkan kad ATM bank di lokasi yang diarahkan.

M Kumar, berkata mangsa mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad ATM miliknya di lokasi diarahkan serta berkongsi nombor pin kad terbabit tanpa bertemu dengan suspek.

“Dia juga diarah memindahkan wang dari semua akaun bank miliknya ke satu akaun, kononnya bagi tujuan siasatan. Pertengahan bulan ini, wanita itu membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang dalam akaunnya berkurang hampir RM600,000.

“Didapati berlaku transaksi pengeluaran wang menerusi ATM dan pindahan wang kepada penama yang tidak dikenali,” katanya.

Menyedari ditipu, Kumar berkata, wanita itu membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Beliau menjelaskan, NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi sehala, tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.

“Oleh itu, sebarang panggilan mendakwa dari NSRC adalah penipuan. Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, mangsa digesa segera hubungi NSRC di talian 997 agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang dipindahkan lebih tinggi.

“Selain itu, dapatkan juga info terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial melalui facebook, Instagram dan Tik Tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya.