Social
158

Warga Malaysia di Singapura dibebaskan daripada tuduhan edar dadah

Singapura – Seorang pemandu bas rakyat Malaysia, Mangalagiri Dhruva Kumar yang berdepan tuduhan jenayah mengedar dadah, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Singapura, hari Rabu.

Menurut kes pendakwa, pada 16 Mei 2014, dia menyerahkan sebuah beg mengandungi tidak kurang daripada 22.73 gram diamorfin kepada seorang wanita, Shanti Krishnan yang kemudiannya menyerahkan pula beg itu kepada seorang lagi lelaki, Zainudin Mohamed.

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Valerie Thean antara lain berkata, satu-satunya bukti bahawa Mangalagiri membekalkan dadah itu adalah menerusi keterangan Shanti.

Thean berkata, Shanti bagaimanapun tidak dapat mengingat dengan baik pelbagai kejadian berkaitan dengan transaksi itu.

Kenyataan wanita itu juga didapati menyimpang daripada keterangannya pada 20 Mei dan 24 Mei, empat dan lapan hari selepas kesalahan berkenaan, katanya.

“Pada penilaian saya, kesalahan tertuduh yang dibina di atas pertuduhan sedemikian tidak dapat dibuktikan melangkaui batas keraguan.

“Dengan itu, saya membebaskan tertuduh atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya,” kata hakim itu.

Menurut laporan pada Mac 2019, Mangalagiri, yang dihukum penjara 26 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku salah mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi, mendapat peluang kedua untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan itu.

Ia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya dan menghantar kembali kes berkenaan untuk dibicarakan semula oleh hakim Mahkamah Tinggi lain.

Laporan itu menyatakan, dia mengubah fikiran dan mahu menarik balik pengakuan bersalah, sejurus sebelum dia dijatuhkan hukuman. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu