Social
162

Warga Pakistan ditahan dalang sindiket pemalsuan dokumen Imigresen

Kuala Lumpur – Jabatan Imigresen menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen imigresen di sebuah kondominium mewah di Setapak, Jumaat lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya turut menemukan sebuah bilik dalam premis itu yang dijadikan makmal untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu.

Beliau berkata antara yang dijumpai adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing, pelekat-pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak yang disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan sejak tahun lepas dengan mengenakan bayaran RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan (yang terdiri daripada majoriti warga Pakistan dan Bangladesh).

“Bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah RM50, kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata suspek turut dipercayai menggunakan PLKS sah dari sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuknya bergerak bebas bagi menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.

Beliau berkata pihaknya juga menjumpai stok pelekat yang masih kosong serta wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa pasukan imigresen ke sebuah lagi kondominium di Jalan Genting Klang yang turut disewa untuk kegiatan itu, dan membawa kepada penemuan cap Pas Lawatan Sosial (PLS) serta lain-lain cap rasmi imigresen palsu yang dipercayai digunakan dalam pemalsuan dokumen.

“Suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah (dipercayai dengan kadar sewaan lebih RM2,000 sebulan) yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

“(Suspek) ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu