SEPANG — Seorang penjual karpet didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anak lelakinya kepada kecederaan fizikal, bulan lalu.
Bagaimanapun, bapa lima anak berusia 53 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, warga Pakistan yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkannya kepada kecederaan fizikal dengan cara gagal mengawasi kanak-kanak itu sehingga memandu kenderaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah taman perumahan di Taman Putra Impiana, Puchong, dekat sini pada 7.30 petang, 28 Julai lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan berikutan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
“Anak guam adalah warga pakistan yang berstatus PR Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang kesemuanya masih sekolah.
“Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta 4 September ini untuk sebutan kes.