Social
100
0

Warga Taiwan dalang sindiket Macau Scam antarabangsa diberkas

Kuala Lumpur – Seorang lelaki warga Taiwan yang disyaki dalang sindiket penipuan antarabangsa Macau Scam secara dalam talian, ditahan di sebuah kondominium di Ampang Putra, Ampang, di sini, malam tadi.

Lelaki dikenali sebagai Jason Wei, 39, itu ditahan dalam serbuan bersama pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta polis antarabangsa (INTERPOL) pada jam 8.20 malam.

“Wei ditahan bersama seorang lelaki warga Taiwan yang dikehendaki iaitu Ku Chin Lung, 49, bersama dua lelaki lain dipercayai ahli sindiket sama juga berasal dari Taiwan di kediaman itu,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Sumber berkata, Wei diburu polis Taiwan sejak 25 Disember 2014 selepas dikesan terbabit dalam kes penipuan Macau Scam yang menyasarkan mangsa di China.

“Polis Taiwan menerima maklumat dia bersembunyi di Kuala Lumpur ketika menjalankan sindiket penipuan Macau Scam yang menyasarkan warga China.

“Susulan itu, Bukit Aman melakukan operasi dengan Interpol untuk memberkas Wei,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu berjaya selepas polis Taiwan meminta kerjasama dan bantuan perisikan dari Bukit Aman bagi mengesan lokasi persembunyian suspek.

Difahamkan, Wei sebelum ini pernah menjadi sindiket penipuan Macau Scam di Filipina pada 2014 dan di Montenegro pada 2019.

“Polis percaya dia masih menjalankan sindiket antarabangsa dari Malaysia sebelum penangkapannya itu.

“Dia juga memiliki kewarganegaraan dengan pelaburan di Republik Guinea-Bissau,” katanya.

Sementara itu, sumber memaklumkan, Chin Lung dikehendaki polis Taiwan sebagai dalang sindiket penipuan dalam talian di Taiwan.

“Polis percaya Chin Lung bekerjasama dengan Wei dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pangkalan operasi untuk sindiket penipuan antarabangsa mereka,” katanya.

Wei, Chin Lung dan dua lelaki warga Taiwan yang ditahan itu akan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum mereka diserahkan kepada polis Taiwan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

“Kita bekerjasama dengan Interpol dan polis Taiwan dalam menghasilkan kejayaan operasi ini,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu