Nation
256

Warisan nafi sokong Hishammuddin sebagai PM

Kota Kinabalu – Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan mengeluarkan kenyataan bersama dengan Pas untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Kenyataan yang tular di media sosial itu adalah fitnah dan Warisan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak yang mengeluarkan kenyataan palsu sebegitu.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata, bagi pihak Warisan beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang turut memalsukan tanda tangannya.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media PAS bertarikh 11 Jun 2021 tersebut.

“Saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama Pas untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri. Warisan tidak pernah terlibat dengan kenyataan media itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loretto berkata, perbuatan mengeluarkan kenyataan seperti ini adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tanda tangan beliau.

“Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini,” katanya.

Dalam kenyataan tular yang mempunyai tandatangan Setiausaha Agung Pas dan Setiausaha Agung Warisan menyatakan, PAS bersama Warisan sepakat bahawa terdapat keperluan untuk menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri yang baharu sebagai langkah menyelamatkan negara dari terus berada dalam krisis kesihatan dan ekonomi.

Muafakat politik yang dicapai antara Pas dan Warisan bukan suatu keputusan yang mudah, tapi sangat diperlukan demi negara ini. — Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu