Politics
30

Warisan saman ADUN Sebatik

Kota Kinabalu – Parti Warisan Sabah (Warisan) telah memfailkan saman terhadap Hassan A Gani Pg Amir kerana gagal meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik selepas meninggalkan parti itu.

Kenyataan Warisan memaklumkan bahawa writ saman dan penyataan tuntutan telah diserahkan oleh Tetuan Liau Kee Siong & Co, yang mewakili parti itu, hari ini kepada Hassan di kediamannya di Taman Fulliwa di sini pada 3.35 petang.

Writ itu menamakan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr sebagai plaintif bagi pihak parti tersebut.

Antara lain, Warisan memohon perintah mahkamah untuk memaksa Hassan, yang memutuskan hubungan dengan parti itu pada 25 Feb lepas, memenuhi obligasi surat peletakan jawatan sebagai ADUN Sebatik yang telah ditandatanganinya sebelum ini.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sebatik semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lepas atas tiket Warisan.

Pada Isnin lepas, Hassan telah menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Bersatu semasa majlis sambutan ulang tahun kedua parti itu di sini. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu