Kuala Lumpur Post

Nation

Waspada dengan penipuan pemulangan wang : MyAirline

KUALA LUMPUR — MYAirline menasihatkan pelanggannya supaya berhati-hati terhadap usaha dilakukan pihak tertentu yang cuba melakukan penipuan berkaitan bayaran balik yang belum selesai.

Katanya, penipuan itu menggunakan pelbagai taktik termasuk panggilan telefon, e-mel atau mesej di platform media sosial bagi memperdaya pelanggan supaya memberikan maklumat peribadi atau membuat pembayaran dengan alasan palsu.

“Susulan itu, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap keselamatan pelanggan, kami menasihatkan mereka berhati-hati bagi mencegah sebarang aktiviti penipuan,” katanya dalam kenyataan.

Bulan lalu, syarikat penerbangan MYAirline bersetuju membayar tuntutan gaji dan elaun 158 pekerja berjumlah RM4.3 juta selepas mesyuarat diadakan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, berkata tindakan itu dicapai selepas JTK mengeluarkan perintah mahkamah buruh berhubung perkara berkenaan.

MYAirline berkata, terdapat laporan baru-baru ini mengenai individu mendakwa secara palsu sebagai wakil kepada syarikat penerbangan itu, menghubungi pelanggan yang menunggu bayaran balik untuk tempahan penerbangan mereka.

“Untuk melindungi daripada kemungkinan penipuan, kami menasihati pelanggan kami mengesahkan sumber apabila menerima komunikasi mengenai bayaran balik.

“Mereka perlu menyemak semula alamat e-mel rasmi atau nombor hubungan yang dikaitkan dengan MYAirline. Komunikasi rasmi daripada kami adalah daripada domain myairline.my,” katanya.

Syarikat penerbangan itu menasihatkan mereka yang menemui sebarang hubungan yang mencurigakan atau tingkah laku penipuan supaya melaporkannya dengan segera kepada saluran sokongan pelanggan rasmi MYAirline atau pihak berkuasa berkaitan.

“Bagi bantuan lanjut atau pertanyaan mengenai bayaran balik atau sebarang kebimbangan, pelanggan digalak menghubungi saluran perkhidmatan pelanggan rasmi MYAirline melalui customercare@myairline.my atau bercakap dengan kami melalui +603 8966 2522,” katanya.

Tags: , ,