Nation
119

Waspada jualan vaksin Covid-19 secara online

Petaling Jaya – Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah menerima dua laporan polis berkaitan penipuan vaksin Covid-19 melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM285,499.95.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya telah mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin Covid-19 secara online walaupun pihak pengendalian perkhidmatan jualan terlibat telah mengeluarkan kenyataan menafikan terdapat iklan tersebut.

“Walaupun begitu, jabatan ini tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin tersebut pada masa akan datang.

“Seperti mana diumumkan oleh kerajaan, pemberian vaksin dilaksanakan secara percuma kepada rakyat Malaysia jesteru sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan mungkin satu penipuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak JSJK sentiasa komited untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin ini secara online.

“Siasatan berhubung laporan polis yang diterima pula masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air keruh’. Sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan mklumat yang tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini,” ujar beliau. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu