Nation
135
0

Waspada penipuan pajak gadai

Kuala Lumpur – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melakukan proses pajak gadai bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 memberikan impak dari segi ekonomi dan pendapatan.

“Sebahagian daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di (kedai) pajak gadai demi kelangsungan hidup.

“Dari sudut pandang pihak polis, situasi ini memungkinkan wujudnya aktiviti pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa yang terdesak mendapatkan wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, walaupun belum ada sebarang laporan diterima berhubung perkara berkenaan setakat ini, namun keberangkalian untuk kes seumpama itu berlaku adalah tidak mustahil.

“Orang ramai perlu memastikan mereka berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan kerajaan dan mengambil tahu mengenai prosedur serta undang-undang berkaitan.

“Jangan sesekali berurusan melalui platform dalam talian kerana aktiviti pajak gadai perlu dijalankan secara fizikal di premis perniagaan yang didaftarkan.

“Usaha dan peranan dari pihak polis dengan masyarakat amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersial,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengutamakan keperluan hidup secara mewah bukan lagi satu pilihan.

“Apa yabg lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu