Nation
183

Wisma Putra pantau rakyat Malaysia ditahan di Somalia

Kuantan – Wisma Putra memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap seorang warganegara Malaysia yang didakwa memasuki Somalia dengan tujuan pembabitan dalam aktiviti kumpulan Al-Shabab.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim Abdul Hamid sentiasa terjaga.

“Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

“Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak.

“Kita sudah menghubungi keluarga Ahmad Mustakim bagi memaklumkan keadaan beliau,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan ke Rapha Children’s Home dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa serta menyampaikan kuih bulan dan sumbangan wang tunai.

Sementara itu, menyentuh mengenai kapal selam nuklear baharu Australia melibatkan kerjasama United Kingdom dan Amerika Syarikat, Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata beliau telah meminta butiran terperinci mengenai pemilikan aset itu daripada negara berkenaan.

“Saya telah dihubungi dan adakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Australia Marise Payne dan beliau menerangkan tentang projek kapal selam itu dengan tujuan untuk mengelakkan berlaku salah faham.

Menerusi perbualan itu juga, Saifuddin menekankan Malaysia mengamalkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), selain berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS).

“Pandangan kita bahawa perkara ini berkemungkinan menyebabkan reaksi kuasa-kuasa besar lain dan kita tidak mahu terperangkap dalam perlumbaan senjata antara kuasa-kuasa besar,” katanya.

Tambah beliau, semua Menteri Luar ASEAN dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung isu ini dalam masa terdekat.

Media melaporkan Australia bakal memperolehi teknologi kapal selam berkuasa nuklear dengan pakatan pertahanan baharu membabitkan negara itu dengan kerjasama Amerika Syarikat dan United Kingdom, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu