Politics
603

Xavier umum keluar PKR

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan keluar parti itu, hari ini.

Selaras pengumuman untuk keluar PKR yang disertai sejak parti tertubuh pada 1998, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Jelasnya, faktor beliau berbuat demikian adalah kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi.

“Sehubungan itu, saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR berkuat kuasa serta-merta.

“Saya akan terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai Ahli Parlimen Bebas dan saya yakin akan dapat terus menunaikan janji pilihan raya kepada penduduk Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Xavier berkata, beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera, menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan satu-satunya parti yang pernah disertai sepanjang kerjaya politiknya.

Tegasnya, usaha mendesak pilihan raya diadakan segera bukan keutamaan ketika ini dalam keadaan negara masih berdepan gelombang ketiga COVID-19, sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang penularan pandemik itu, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana untuk memulihkan ekonomi negara.

“Sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan hanya untuk melengkapkan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

“Ini memerlukan sokongan bipartisan untuk memastikan kejayaan usaha kerajaan. Rakyat perlukan kestabilan dan menghidupkan semula sektor ekonomi yang semakin lumpuh.

“Untuk memastikan usaha ini berjaya, kita perlu bekerja bersama-sama, bukan menentang satu sama lain,” kata bekas menteri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Xavier turut menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat bertarikh 12 Mac 2021 kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan.

Dalam surat itu, Xavier memaklumkan beliau membuat keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, berkuat kuasa semalam.

“Saya, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulanandam, Ahli Parlimen Kuala Langat ingin memaklumkan bahawa mulai 12 Mac 2021, saya membuat keputusan untuk menjadi seorang Ahli Parlimen Bebas yang menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Pengumuman Xavier itu dibuat 14 hari selepas dua wakil rakyat PKR iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mengumumkan keluar parti dan menyokong PN dan Muhyiddin, pada 28 Februari lalu. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu