Politics
691

Zahid cadangkan pembentukan ‘War Cabinet”

Kuala Lumpur – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan dengan Kabinet yang efektif mirip “War Cabinet” yang hanya menumpukan proses pemulihan negara dalam mendepani pandemik COVID-19.

Beliau berkata “War Cabinet” ini perlu dibentuk bagi mewujudkan kerajaan yang stabil untuk satu tempoh yang munasabah bagi menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing selain memerangi COVID-19.

Menurutnya, setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, kerajaan itu harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini yang mengutarakan cadangan berkenaan bagi mengelakkan krisis politik yang dihadapi negara berulang.

Ahmad Zahid memaklumkan UMNO turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang perkhidmatan beliau sebelum ini.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi sebagai Perdana Menteri, semalam.

Beliau berkata apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan menyeru semua pihak memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan kepada satu matlamat bagi bersama menjaga kesejahteraan rakyat serta membina semula negara ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan terhirisnya apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan terhadap dirinya sepanjang kemelut politik negara.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti (Melayu) terbesar.

Justeru, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon. Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-Ahli Parlimen,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu