Nation
898

Zahid masuk hospital, tak dapat hadir perbicaraan kes rasuah

Kuala Lumpur – Perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, ditangguhkan pagi ini, selepas Presiden UMNO itu dimasukkan ke hospital untuk prosedur kecederaan tulang belakang.

Terdahulu, kes itu ditetapkan hari ini untuk penghujahan lisan, selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.

Bagaimanapun ketika prosiding bermula pagi ini, peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah anak guamnya tidak hadir kerana perlu menjalani prosedur “pain intervention” di hospital.

Beliau berkata, Ahmad Zahid mengalami kecederaan itu akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama.

“Beliau sudah berada di bawah jagaan pihak hospital sejak Ahad lalu.

“Ahmad Zahid akan menjalani prosedur itu pagi ini di sebuah hospital swasta,” katanya.

Mendengar perkara itu, pihak pendakwaan diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran, memberitahu mahkamah pihaknya masih ingin meneruskan hujahan memandangkan sudah terlalu banyak penangguhan diberikan.

“Bagaimanapun dalam kes ini, kehadiran tertuduh adalah perlu mengikut Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah.

“Pihak pendakwaan mencadangkan supaya mahkamah memanggil doktor berkenaan bagi memberikan prognosis dan menjelaskan keadaan Ahmad Zahid,” katanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian meminta pihak pembelaan untuk memanggil doktor berkenaan bagi memberi penjelasan berhubung keadaan Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Hisyam memaklumkan doktor berkenaan tidak dapat hadir pada prosiding hari ini memandangkan beliau mempunyai tugasan.

Sequerah kemudian mengeluarkan sapina terhadap Dr Mohd Shahir Anuar untuk hadir ke mahkamah esok, pada jam 3.30 petang.

 

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu