Social
288

Zakiah Aini seorang yang pendiam

Jakarta – Sejak insiden tembakan di pekarangan ibu pejabat polis kelmarin, nama Zakiah Aini, 25, menjadi tumpuan ramai.

Suspek memakai jubah berwarna hitam dan tudung biru semasa hari kejadian serta melepaskan enam das tembakan sebelum ditembak mati oleh anggota polis.

Lapor Kompas.com, difahamkan suspek merupakan seorang yang pendiam dan pernah menuntut di Universiti Gunadarma, Depok, Jawa Barat.

Bagaimanapun, dia gagal menamatkan pengajian di universiti dan hanya sempat melanjutkan pelajaran sehingga semester keempat.

Menurut Timbalan Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Gunadarma, Irwan Bastian, Zakiah pernah meraih keputusan purata nilai gred (GPA) yang bagus antara 3.1 hingga 3.2 sepanjang dua tahun pengajian.

Suspek tinggal di sebuah rumah di Kampung Kelapa Dua Wetan, Ciracas, Jakarta Timur dan lebih banyak menghabiskan masa dalam bilik daripada bergaul dengan ahli keluarga atau penduduk tempatan seperti dimaklumkan jirannya.

“Anak saya kerap bermain di rumah wanita itu. Bagaimanapun, dia tidak pernah berkomunikasi dengan Zakiah kerana dia kerap bersendirian di dalam bilik,” kata seorang jiran, Kasdi.

Difahamkan, Zakiah yang merupakan anak bongsu dalam keluarga kerap menukar nombor telefon bimbitnya.

Kasdi berkata, keadaan itu menyebabkan keluarganya sukar menghubungi anak mereka semasa dia tidak pulang ke rumah semasa hari kejadian.

“Zakiah sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapanya dan memberitahu ingin keluar sebentar pada pukul 8.30 pagi waktu kejadian,” katanya. – Kompas

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu