Nation
217

Zaman Khan, individu penting tumpaskan Bentong Kali

Kuala Lumpur – Pemergian Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan di Institut Jantung Negara, merupakan satu kehilangan tokoh yang digeruni penjenayah namun disanjungi dalam pasukan keselamatan negara.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang memulakan khidmat sebagai Kadet ASP dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan gaji RM460 itu tidak mempunyai istilah gentar dalam dirinya, sebaliknya beliau amat digeruni penjenayah.

Kes-kes berprofil tinggi yang dikendalikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berjaya diselesaikan dengan rata-rata ketua kumpulan penjenayah terbabit tumpas, dan ada yang ditembak mati.

Bentong Kali, penjenayah yang digelar ‘trigger happy’ yang membunuh 16 orang sebelum ditembak mati oleh polis, Botak Chin dan kejadian tebusan Tentera Merah Jepun (Japanese Red Army) di Kuala Lumpur adalah antara beberapa kes berprofil tinggi yang kendalikan Zaman Khan.

Malah, ketika mengendalikan kes Bentong Kali, beliau yang ketika itu Pengarah JSJ pernah dihubungi sendiri oleh penjenayah itu. P. Kalimuthu @ Bentong Kali untuk bertemu di sebuah kelab golf, namun penjenayah yang ditembak mati pada 29 Jun 1993 itu tidak muncul seperti dijanjikan.

Selain itu, Zaman Khan turut diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kes pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam Datuk Mazlan Idris melibatkan pasangan bomoh Maznah Ismail atau dikenali sebagai Mona Fandey dan Affandi Abdul Rahman pada Julai 1993.

Penglibatannya dalam pelbagai kes berprofil tinggi ini dan disifatkan sebagai ‘no nonsense man’ (membujur laju melintang patah) menyebabkan beliau digeruni penjenayah sehingga namanya terkenal di seluruh negara pada era tahun 70-an hingga 80-an sekali gus menaikkan imej pasukan PDRM.

Jasa dan bakti beliau tidak terhenti di situ, sebaliknya selepas dilantik sebagai Pengarah Jabatan Penjara Malaysia pada Februari 1994, Zaman Khan banyak memperkenalkan idea dalam memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penghuni penjara.

Antara buah fikirannya adalah sistem peralatan keselamatan moden berteknologi tinggi dan mewujudkan Taman Mini di penjara bagi mengelak penyeludupan masuk barangan yang ditegah ke dalam penjara.

Beliau juga turut membenarkan banduan di seluruh negara membuat panggilan telefon kepada kaum keluarga terdekat sebagai satu daripada usaha pemulihan.

Tanggal 31 Dis 1996, Zaman Khan bersara daripada kerajaan ketika berusia 55 tahun dengan jawatan terakhir dalam perkhidmatan awam sebagai Pengarah Jabatan Penjara.

Sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM, Zaman Khan menyandang pelbagai jawatan antaranya Ketua Trafik Kuala Lumpur (1972-1974); Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (1974); Ketua Polis Negeri Sembilan (1977-1979); Ketua Polis Pulau Pinang (1979-1984); dan Ketua Polis Kuala Lumpur (1984-Julai 1987).

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam Bukit Aman (Ogos 1987-1989); dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (1989-1994).

Selain itu, bapa kepada lima cahaya ini turut melibatkan diri dalam bidang sukan antaranya bola sepak dan rugbi.

Sebagai menghargai jasa dan perkhidmatannya, Zaman Khan dianugerahi gelaran Tan Sri pada 2011 dan pelbagai anugerah lain termasuk dinobat sebagai penerima anugerah Maulidur Rasul 1434H, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu