Kuala Lumpur Post

Politics

Zambry ketuai jentera BN gempur Sungai Bakap

KUALA LUMPUR — UMNO menamakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Sungai Bakap.

Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, malam tadi.

Katanya, parti turut menamakan Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang) sebagai Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan (MT UMNO) selaku Ketua War Room PRK Sungai Ваkap.

Pada 12 Jun, bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros, dengan majoriti 1,563 undi.

Selain itu, Asyraf memaklumkan mesyuarat juga telah bersetuju bahawa Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 21 hingga 24 Ogos 2024.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat MT UMNO turut membincangkan mengenai tanggungjawab UMNO untuk membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Asyraf berkata usaha itu bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan di 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya.

“UMNO mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.

“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran, untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET peningkatan dan pemahiran semula, melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO,” katanya.