Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar tiba di Riyadh untuk hadiri Mesyuarat Khas WEF

RIYADH — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, malam tadi, dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada kira-kira jam 10.25 malam Sabtu waktu tempatan atau jam 3.25 pagi Ahad waktu Malaysia.

Ketibaan Anwar serta delegasi Malaysia disambut oleh Naib Menteri Luar Arab Saudi, Waleed A El-Khereiji bersama-sama rakan sejawatnya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Riyadh akan menjadi hos mesyuarat khas itu yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad ini bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.’

Mohamad berkata, Anwar menerima jemputan peribadi daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman untuk menyertai sesi panel bertemakan ‘Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global’ bersama-sama pemimpin negara lain semasa pembukaan mesyuarat khas itu.

Selain itu, Anwar dijadualkan menyertai Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dalam sesi ini.

Perdana Menteri juga akan menghadiri program Dialog Strategi Negara dan beliau dijangka berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.

Di luar mesyuarat itu, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk rakan sejawatnya dari Jordan iaitu Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda Paul Kagame.